KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatakan Petronas akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu rampasan aset dua anak syarikat itu di Azerbaijan oleh waris Kesultanan Sulu.
Ismail Sabri selepas melancarkan Blueprint Perumahan 3.0 (BP 3.0) Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata Petronas akan buat statement (kenyataan).
Semalam Financial Times melaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh waris kesultanan Sulu, yang dikatakan menuntut RM62.59 bilion daripada Malaysia.
Peguam pihak yang menuntut, dilaporkan merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion.
Menurut peguam itu, bailif di Luxembourg merampas syarikat induk bagi pihak pelanggan mereka. Bagaimanapun, Petronas dalam satu kenyataan semalam memaklumkan dua asetnya di Azerbaijan sudah dilupuskan dan hasilnya sudah dikembalikan.
Syarikat itu menjelaskan kedua-dua anak syarikat itu, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini dipulangkan dengan sewajarnya. – HM


