HomeSemasaBORNEONISASI: Perkhidmatan awam diperkukuh melalui penyertaan bakat tempatan

BORNEONISASI: Perkhidmatan awam diperkukuh melalui penyertaan bakat tempatan

KUALA LUMPUR: Dasar Borneonisasi dalam perkhidmatan awam Persekutuan terus diperkasakan sebagai antara agenda penting di bawah pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi meningkatkan penyertaan anak Sabah dan Sarawak dalam pentadbiran negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa memberi keutamaan kepada anak negeri untuk berkhidmat di negeri kelahiran masing-masing.

Menurut beliau, pelaksanaan dasar itu bukan sahaja melibatkan proses penempatan pegawai, malah mengambil kira merit, kekosongan jawatan, kesesuaian dan persetujuan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan Sabah mencadangkan supaya 90 peratus jawatan ketua jabatan Persekutuan di negeri itu diisi oleh anak tempatan, manakala Sarawak menetapkan sasaran nisbah 80:20 bagi jawatan ketua jabatan.

“Perkara ini sedang diteliti melalui Jawatankuasa Kerja Perkhidmatan Awam Sabah dan Sarawak di bawah MTPMA63 yang dipengerusikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,” katanya.

Menurut beliau, jawatankuasa itu dianggotai wakil Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta beberapa kementerian berkaitan.

Beliau berkata, sehingga kini jawatankuasa berkenaan telah mengadakan lima mesyuarat bagi memperhalusi pelaksanaan dasar tersebut.

Selain penempatan di Sabah dan Sarawak, kerajaan turut melihat potensi membawa pulang anak Sabah dan Sarawak yang kini berkhidmat di Semenanjung untuk mengisi jawatan strategik di negeri asal.

Katanya, pengalaman yang dimiliki pegawai terbabit mampu dimanfaatkan bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam serta menyokong agenda pembangunan kedua-dua negeri.

Dalam masa sama, JPA turut memberi penerangan kepada semua kementerian supaya keutamaan diberikan kepada anak Sabah dan Sarawak dalam proses penempatan pegawai bukan guna sama.

Mustapha berkata, pelaksanaan dasar Borneonisasi kini berada pada status “selesai sebahagian” dan akan terus dipantau menerusi platform MTPMA63 sehingga objektif yang dipersetujui dapat direalisasikan sepenuhnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular