KUALA LUMPUR: Isu Borneonisasi dalam perkhidmatan awam Persekutuan terus menjadi antara agenda utama yang dibincangkan menerusi platform Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud, berkata Kerajaan MADANI kekal komited meneruskan rundingan bersama Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak bagi memastikan pelaksanaan dasar itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan kerangka perundangan sedia ada.
Menurut beliau, perbincangan mengenai Borneonisasi dilaksanakan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri serta Jawatankuasa Teknikal MTPMA63.
Bagi Sabah, kerajaan negeri mencadangkan supaya 90 peratus jawatan ketua jabatan Persekutuan dan pengurusan tertinggi diisi oleh anak tempatan, manakala Sarawak menetapkan sasaran nisbah 80:20 bagi pengisian jawatan ketua jabatan Persekutuan oleh anak negeri.
Bagi memperhalusi perkara itu, sebuah Jawatankuasa Kerja Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak diwujudkan di bawah MTPMA63 dengan dipengerusikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
Menurut Mustapha, jawatankuasa yang diterajui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu turut disertai wakil kerajaan negeri serta kementerian dan jabatan Persekutuan, dan sehingga kini telah mengadakan lima mesyuarat.
Beliau berkata, pelaksanaan dasar Borneonisasi kini berada pada status “selesai sebahagian” atau interim dan akan terus dipantau melalui MTPMA63 sehingga sasaran yang dipersetujui dapat dicapai.


