KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang membangunkan sistem MyProject 2.0 yang akan mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh pemantauan pelaksanaan projek pembangunan di seluruh negara, termasuk projek yang berdepan kelewatan atau dikategorikan sebagai projek sakit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, pembangunan sistem baharu itu merupakan penambahbaikan kepada sistem MyProject yang kini menjadi platform utama pemantauan projek pembangunan Persekutuan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid, pada persidangan Dewan Rakyat.
Menurut Mustapha, MyProject 2.0 akan memanfaatkan teknologi semasa, termasuk AI, bagi meningkatkan kecekapan pemantauan serta pengurusan pelaksanaan projek kerajaan.
“Memang yang kita ada sekarang ialah sistem MyProject dan ia akan dipertingkatkan kepada MyProject 2.0 yang sedang dalam pembangunan.
“Sistem ini akan mengambil kira penggunaan teknologi sedia ada, terutama melibatkan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau berkata, ahli Parlimen boleh mendapatkan maklumat berkaitan projek pembangunan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), selain mengemukakan pertanyaan rasmi berhubung status pelaksanaan projek di kawasan masing-masing.
Tambah beliau, kerajaan turut meneliti cadangan supaya laporan kemajuan projek dapat dikongsi secara berperingkat kepada ahli Parlimen dan pihak berkepentingan bagi meningkatkan akses kepada maklumat.
Mustapha menegaskan, kerajaan melaksanakan pemantauan secara terperinci dan telus terhadap semua projek pembangunan tanpa mengira kawasan, termasuk negeri yang ditadbir pembangkang, bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut perancangan serta memberi manfaat kepada rakyat.


