spot_img
HomeSemasaBantuan awal persekolahan diawalkan, dinaikkan kepada RM150 seorang

Bantuan awal persekolahan diawalkan, dinaikkan kepada RM150 seorang

KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid yang bakal memasuki Tahun 2 hingga Tingkatan 5 pada 21 Mac 2022 bagi sesi persekolahan tahun 2022/2023 akan dilaksanakan mulai 17 Januari depan.

Menurut kenyataan KPM, murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah yang sedang dalam sesi persekolahan bagi tahun 2021/2022 juga layak untuk menerima bantuan tersebut.

Manakala bagi murid Tahun 1 yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac 2022, pemberian BAP akan dilaksanakan selepas proses pendaftaran selesai.

Menurut kenyataan, bagi sesi persekolahan tahun 2022/2023, Kerajaan telah bersetuju meningkatkan kadar BAP kepada RM150 untuk seorang murid berbanding RM100 sebelum ini.

Manfaat bantuan ini akan diterima oleh seramai 3 juta penerima BAP dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Untuk makluman, pemberian BAP akan dibuat secara tunai atau dikredit ke akaun bank bagi murid yang mempunyai akaun bank.

Sekiranya pemberian secara tunai, pengagihan akan dilaksanakan di sekolah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pihak KPM yakin pemberian BAP ini akan dapat membantu ibu bapa dan penjaga dalam membuat persiapan awal anak-anak sebelum memulakan persekolahan bagi Sesi Akademik 2022/2023.

KPM juga akan sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular