Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyambut baik Belanjawan 2022 berjumlah RM4.596 bilion yang dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, petang semalam.
“Saya menyambut baik beberapa pengumuman dalam pembentangan bajet kali ini dan turut memberi sokongan kepada Ketua Menteri sepenuhnya.
“Saya yakin, kita akan dapat menguruskan lagi ekonomi negeri Sabah ini dengan baik pada masa akan datang dengan adanya pendapatan-pendapatan yang kita rancang untuk meningkatkan ekonomi negeri kita khususnya.”
Mengulas lanjut berhubung belanjawan lebihan atau surplus sebanyak 110.68 juta ringgit yang bertemakan ”Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera”. Bung yakin nilai tersebut akan terus bertambah seiring dengan proses perkembangan dan pembangunan negeri Sabah secara menyeluruh.
“Kita memahami lebih banyak keperluan pembangunan insfrastruktur diperlukan dan ditingkatkan di negeri ini, antaranya sistem perhubungan jalanraya, bekalan air bersih, bekalan elektrik, pendidikan dan lain-lain yang memerlukan tumpuan khusus” katanya.
Dalam pada itu, Bung bertegas bahawa tumpuan juga akan diberikan kepada sektor penting seperti sektor pertanian selain Sektor Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang beliau gambarkan sebagai enjin pendapatan ekonomi negeri Sabah sebelum ini.
“Kesemua sektor yang menyumbang dalam pendapatan ekonomi Sabah perlu diselaraskan secara bijaksana”.
Jelasnya lagi, berdasarkan trend sektor ini, beliau melihat ia satu peluang bagi kerajaan negeri untuk menambah nilai bantuan peruntukkan kepada Industri Kecil dan Sederhana (SME) yang rata-rata terdiri daripada masyarakat kampung.