KOTA KINABALU: Isu pendidikan dan kesihatan sangat dititik beratkan dalam perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata dalam MTPMA63 di Kuching, bagi isu pendidikan, persetujuan bersama dicapai berhubung pembabitan kerajaan negeri dalam perancangan projek pembangunan pendidikan, perkongsian maklumat berkenaan perpindahan pegawai kanan serta penyaluran peruntukan bagi program pembangunan profesional.
Bagi isu kesihatan pula, beliau berkata mesyuarat dimaklumkan beberapa tuntutan kerajaan negeri turut dipersetujui termasuk peningkatan peruntukan belanja mengurus dan pembangunan, pemberian kuasa autonomi kepada pengarah kesihatan negeri serta pengukuhan sumber manusia di kedua-dua negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, isu kesihatan merupakan antara perkara yang dibincangkan secara berterusan bersama kementerian berkaitan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus dipertingkatkan.
Menurut beliau, keutamaan turut diberikan kepada usaha mengisi kekosongan pegawai perubatan dan pakar, khususnya di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.
Selain itu, kerajaan menggalakkan lebih ramai anak negeri menceburi bidang perubatan melalui penyediaan biasiswa dan peluang melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal.
Jelas beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan negeri berkenaan mempunyai lebih ramai tenaga profesional tempatan yang bersedia berkhidmat di kawasan kelahiran masing-masing.


