HomeSemasaPendidikan, TVET pacu pembangunan modal insan Sabah

Pendidikan, TVET pacu pembangunan modal insan Sabah

KUALA LUMPUR: Pendidikan berkualiti dan akses lebih luas kepada latihan teknikal serta vokasional dikenal pasti sebagai antara strategi utama kerajaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, pembangunan negeri tidak hanya bergantung kepada penyediaan infrastruktur fizikal, sebaliknya memerlukan pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat tempatan.

Menurut beliau, pendidikan tinggi serta TVET memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri serta menyokong agenda pembangunan negara.

Katanya, kerajaan menggalakkan lebih ramai anak Sabah melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam, institusi swasta dan pusat TVET melalui penyediaan biasiswa serta pelbagai bentuk bantuan pendidikan.

“Kita mahu melahirkan satu generasi yang akan menjadi pelapis kepada kepimpinan serta pengurusan negeri pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan dalam pendidikan perlu dilihat sebagai strategi jangka panjang yang mampu menghasilkan tenaga profesional dalam pelbagai bidang kritikal.

Menurut Mustapha, usaha memperkasakan pendidikan turut menyokong agenda Borneonisasi apabila lebih ramai graduan tempatan berpeluang mengisi jawatan strategik dalam sektor awam dan swasta di Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan juga terus bekerjasama memperluaskan akses pendidikan serta latihan kemahiran supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh, termasuk masyarakat luar bandar.

Katanya, pembangunan modal insan merupakan antara asas penting dalam memastikan agenda Sabah Maju Jaya serta aspirasi Malaysia MADANI dapat direalisasikan secara mampan.

Menurut beliau, gabungan pendidikan akademik, latihan teknikal, pembangunan kemahiran digital dan pembelajaran sepanjang hayat akan menjadi pemacu kepada peningkatan produktiviti, inovasi dan daya saing negeri.

Beliau berkata, usaha melahirkan lebih ramai bakat tempatan diyakini mampu memperkukuh ekonomi Sabah serta menyediakan tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular