HomeSemasaHari Pahlawan ingatkan rakyat tentang nilai pengorbanan demi negara - Mustapha

Hari Pahlawan ingatkan rakyat tentang nilai pengorbanan demi negara – Mustapha

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Pahlawan 2026 bukan sekadar acara memperingati jasa anggota keselamatan, malah menjadi peringatan kepada rakyat mengenai nilai pengorbanan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, detik-detik sepanjang Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pahlawan Negara 2026 mengingatkan bahawa keamanan yang dinikmati hari ini diperoleh melalui pengorbanan besar pasukan keselamatan.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial selepas menghadiri istiadat berkenaan di Dataran Pahlawan Negara.

Menurutnya, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan keselamatan lain telah memainkan peranan penting dalam mempertahankan kemerdekaan, keamanan serta kedaulatan negara.

Di samping itu, beliau berkata rakyat perlu meneruskan legasi perjuangan mereka dengan memperkukuh perpaduan dan memastikan keharmonian negara sentiasa dipelihara.

“Sebagai generasi pewaris, menjadi tanggungjawab kita untuk menghargai pengorbanan mereka dengan terus memupuk perpaduan, mempertahankan keharmonian dan membangunkan negara yang lebih baik untuk anak-anak kita,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pasukan keselamatan atas khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan demi memastikan Malaysia terus aman serta sejahtera.

Mustapha berkata semangat Hari Pahlawan wajar dijadikan pemangkin untuk menyemai rasa cinta kepada negara dan menghargai jasa mereka yang telah berkorban demi masa depan Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular