HomeSemasaMustapha seru rakyat hargai pengorbanan pahlawan demi kekalkan keamanan negara

Mustapha seru rakyat hargai pengorbanan pahlawan demi kekalkan keamanan negara

KUALA LUMPUR: Pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang mempertahankan kedaulatan negara perlu terus dihargai dengan memupuk perpaduan serta mengekalkan keharmonian dalam kalangan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, setiap nikmat keamanan yang dikecapi hari ini hadir hasil pengorbanan besar insan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi negara.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial selepas menghadiri Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pahlawan Negara 2026 di Dataran Pahlawan Negara.

Menurut Mustapha, istiadat berkenaan menjadi medan untuk mengenang jasa anggota keselamatan yang telah mengabdikan seluruh kehidupan mereka bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang aman dan berdaulat.

“Ramai dalam kalangan mereka meninggalkan keluarga, mempertaruhkan nyawa dan mengabdikan seluruh kehidupan demi memastikan Malaysia terus berdiri sebagai sebuah negara yang aman dan berdaulat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata generasi hari ini memikul tanggungjawab untuk menghargai pengorbanan tersebut dengan terus mempertahankan perpaduan dan membangunkan negara demi kesejahteraan generasi akan datang.

Justeru, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua pasukan keselamatan yang terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara.

Menurutnya, semangat pengorbanan para pahlawan perlu terus dijadikan inspirasi kepada seluruh rakyat dalam memelihara keamanan dan kestabilan Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular