HomeSemasaMalaysia, Switzerland perkukuh kerjasama dalam tadbir urus persekutuan

Malaysia, Switzerland perkukuh kerjasama dalam tadbir urus persekutuan

PUTRAJAYA: Malaysia dan Switzerland berpotensi memperkukuh kerjasama dalam aspek tadbir urus persekutuan menerusi perkongsian pengalaman berkaitan federalisme, struktur kerajaan dan pengurusan hubungan antara kerajaan pusat dengan wilayah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, pertemuan bersama Duta Besar Switzerland ke Malaysia, Chantal Moser membuka ruang kepada kedua-dua negara bertukar pandangan mengenai pengalaman serta cabaran dalam mengurus sistem persekutuan.

Menurut beliau, walaupun Malaysia dan Switzerland mengamalkan sistem pemerintahan yang berbeza, kedua-dua negara mempunyai persamaan sebagai sebuah negara persekutuan yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan budaya.

Di samping itu, kedua-dua negara turut mengamalkan sistem demokrasi yang menjadi asas kepada kestabilan politik serta perpaduan masyarakat.

Jelas beliau, sesi perbincangan turut menyentuh pendekatan yang digunakan bagi mengharmonikan tuntutan wilayah atau negeri di negara masing-masing agar pembangunan dapat dilaksanakan secara seimbang.

Selain itu, Mustapha berkongsi perkembangan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk kemajuan yang dicapai Kerajaan MADANI dalam memenuhi pelbagai perkara berkaitan Sabah dan Sarawak.

Justeru, beliau berpandangan perkongsian pengalaman dengan negara luar mampu membantu memperkukuh tadbir urus negara serta membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas dalam aspek pentadbiran awam dan pembangunan wilayah.

Ujarnya lagi, hubungan diplomatik yang kukuh bukan sahaja mempererat hubungan dua hala, malah menjadi platform pertukaran idea dan amalan terbaik yang boleh dimanfaatkan demi kepentingan kedua-dua negara.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular