KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) terbuka untuk mengadakan kerjasama pintar dengan mana-mana parti termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).
Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pihak mereka perlu berusaha untuk mengukuhkan parti terlebih dahulu sebelum melihat mana-mana pihak yang sesuai untuk bekerjasama, seiring dengan perjuangan WARISAN untuk mempertahankan kepentingan Sabah, inklusif dan memperkukuhkan perpaduan rakyat Malaysia.
“Kita perlu terbuka untuk memastikan kita dapat mengukuhkan parti kerana kita sedar dan tahu tidak mudah jika bersendirian.
“Perkongsian dan kerjasama penting seperti mana yang dilakukan oleh Sarawak, yang mana mereka tidak bergabung dengan mana-mana parti atau ahli tetapi bekerjasama dengan pihak kerajaan di peringkat pusat,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut Mohd Shafie, WARISAN turut terbuka untuk menjalinkan kerjasama pintar dengan mana-mana parti yang bakal menerajui kerajaan di peringkat Persekutuan selepas PRU-15 kelak, demi membentuk kerajaan yang lebih stabil, dan pada masa sama, mengangkat mandate diberikan rakyat dalam pilihan raya berkenaan.
“Apa yang penting sekarang adalah kami perlu mempersiapkan parti untuk menghadapi PRU-15 yang akan datang. Langkah pertama iaitu dengan memperkukuhkan parti dan kawasan yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlumen Warisan,” katanya. – Berita Harian