KUALA LUMPUR: Ketegasan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ingin membubarkan parti UMNO kerana memiliki tanggungjawab untuk menentukan arah tuju parti mereka sendiri telah mendapat respon daripada Ahli Parlimen Padang Rengas.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sekiranya mahu membubarkan Parlimen dalam masa terdekat, presiden UMNO perlu mengadakan perbincangan dengan parti-parti yang membentuk kerajaan hari ini.
“Perbincangan dengan presiden parti-parti dalam kerajaan perlu Zahid lakukan kerana UMNO tidak lagi menjadi parti dominan dalam kerajaan seperti sebelum ini.
“Sebelum ini, UMNO adalah parti dominan sekaligus presiden UMNO yang juga merupakan perdana menteri boleh membuat keputusan untuk membubarkan parlimen tanpa perbincangan dengan parti lain.” Tambahnya lagi.
Menurut beliau, situasi sekarang adalah berbeza kerana kerajaan yang ada pada hari ini dibentuk hasil Kerjasama dan persefahaman dengan parti-parti lain, di luar Barisan Nasional.
“UMNO bukan lagi parti dominan, sekiranya Zahid mahu sangat Parlimen dibubarkan, beliau perlu berbincang dengan Muhyiddin, Hadi dan yang lain.
“Ia perlu diselesaikan di peringkat parti-parti yang membentuk kerajaan bagi mendapatkan persetujuan barulah boleh minta perdana menteri bubarkan,” katanya.
Berhubung Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 Nazri berkata, berdasarkan pengalamannya berada dalam kabinet era Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga Datuk Seri Najib Tun Razak, perdana menteri tidak pernah memaklumkan bila Parlimen akan dibubarkan.
“Perdana Menteri akan menghadap Yang Di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan dan barulah Kabinet dimaklumkan bahawa parlimen akan dibubarkan.
“Biarpun sokongan kuat sedang diperolehi UMNO buat masa ini, parti itu perlu memastikan masalah rakyat diselesaikan terlebih dahulu.” Tambahnya lagi.
Menurut beliau, adalah tidak elok sekiranya UMNO mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) ketika rakyat sedang bergelut dengan masalah ekonomi akibat COVID-19.
“Kita (UMNO) kenalah tunjuk contoh terlebih dahulu dengan memastikan genap lima tahun penggal kali ini.
“Jadi bubarlah tahun depan untuk cukup lima tahun, bukannya lama lagipun,” katanya.


