KOTA KINABALU : Esok pasukan Tawau akan bertemu pasukan Tuaran pada perlawanan akhir Piala Sabah 2022 untuk merebut piala Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor di Stadium Likas.
Mewakili Zon Pantai Barat Timur iaitu Tuaran yang mara ke perlawanan akhir selepas mengungguli Kumpulan A dengan mengumpul sembilan mata dengan memenangi kesemua tiga perlawanan di peringkat kumpulan.
Manakala pasukan Tawau yang mewakili Zon Pantai Timur Selatan menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri.
Walaupun Tawau mempunyai sama mata dengan Keningau yang mewakili Pedalaman Atas namun Tawau mempunyai kelebihan satu jaringan gol untuk membolehkan mereka mara ke final.
Tuaran yang dilihat sebagai pasukan pilihan kerana diperkuatkan beberapa bekas pemain negeri seperti Rozaimi Abdul Rahman, Mafry Balang dan Zuraindy Jumai dijangka menerima tentangan hebat pasukan Tawau yang menampilkan barisan pemain muda.
Tuaran juga mungkin mempunyai “advantage” tetapi Tawau sudah tentu tidak akan mudah menyerah kalah sebaliknya mampu melakukan kejutan yang sukar dijangka.
Situasi ini bakal menjanjikan saingan dan aksi yang menarik daripada kedua-dua pasukan apabila berentap di pentas akhir esok.
Juara Piala Sabah 2022 akan menerima hadiah wang tunai RM30,000, piala dan medal manakala naib juara akan memenangi wang tunai RM20,000, piala dan medal.
Manakala enam pasukan lagi yang berjaya melayakkan diri ke grand final kejohanan itu pula masing-masing akan menerima sagu hati wang tunai sebanyak RM5,000. – UB