KOTA KINABALU : 4,728 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menamatkan pengajian pada 2020 telah menerima skrol masing-masing pada Majlis Konvokesyen UMS ke- 22 hari ini.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata daripada jumlah itu, seramai 4,126 orang menerima Ijazah Sarjana Muda, 452 orang menerima Sarjana, 67 orang Doktor Falsafah dan 83 orang Diploma Pasca.
“Konvokesyen kali ini seramai 206 graduan adalah dari kelas pertama, 166 golongan B40, 134 graduan antarabangsa dan 10 Orang Kurang Upaya,” tambahnya.
“Daripada keseluruhan graduan ini, 55.9 peratus berasal dari Sabah diikuti Sarawak sebanyak 7.6 peratus dan negeri-negeri lain di Semenanjung,” tambahnya lagi.
Menurutnya, majlis konvokesyen itu akan berlangsung selama enam hari bermula hari ini hingga 31 Mac depan di Dewan Canselor universiti itu.
UMS juga dijadual bakal mengadakan konvokesyen ke-23 pada Jun depan bagi meraikan graduan yang tamat pengajian pada 2021 dan konvokesyen ke-24 pada November bagi graduan tamat pengajian tahun ini.
Taufiq berkata hingga kini UMS berjaya melahirkan 74,090 graduan malah sejak 2019 pencapaian kebolehpasaran graduan UMS melebihi 90 peratus dan pada tahun lepas mencatatkan rekod tertinggi dengan 96 peratus. – BERNAMA