SIPITANG: Satu kebakaran besar memusnahkan empat blok bangunan termasuk sebuah surau dan deretan rumah sewa di Batu 7, Kampung Pantai Jalan Sogip, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan jam 8.19 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang bergegas ke lokasi kejadian sejauh 13 kilometer.
Menurut Komander Operasi, PBK I Stefanus Lolon Andreas, kebakaran melibatkan sebuah rumah dan kedai, sebuah blok rumah sewa 30 pintu, sebuah rumah sewa dua pintu, serta sebuah surau.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu.
“Pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan menerusi kaedah ofensif, manakala sumber air diperoleh daripada jentera bomba,” katanya.
Menurutnya, api berjaya dikawal sepenuhnya jam 8.32 pagi, sebelum operasi pemadaman ditamatkan jam 10.45 pagi selepas pasukan memastikan kawasan selamat dan tiada la gi ancaman bahaya.
Tambahnya, antara yang musnah termasuk:
• Sebuah rumah dan kedai separuh kekal berkeluasan 30×40 kaki, musnah 98%.
• Sebuah blok rumah sewa 30 pintu berkeluasan 20×50 kaki, musnah 100%.
• Sebuah rumah sewa dua pintu berkeluasan 10×20 kaki, musnah 100%.
• Sebuah surau berkeluasan 20×20 kaki, musnah 100%.

Ujarnya, operasi pemadaman melibatkan enam anggota BBP Sipitang dengan kekuatan dua jentera iaitu FRT-2 (4 anggota) dan EMRS-1 (2 anggota).
Turut membantu, dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi kejadian.
“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. — DEMI SABAH


