KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee mempersoal denda RM25 yang dikenakan terhadap seorang lelaki yang menceroboh tandas wanita dan mengintai, sambil menyifatkan hukuman itu sebagai tidak munasabah serta menyimpang daripada fungsi undang-undang sebagai penghalang jenayah.
Menurutnya, undang-undang sepatutnya menjadi benteng terakhir dalam menjaga norma masyarakat dan keselamatan rakyat, namun keputusan ringan itu menimbulkan persoalan sejauh mana sistem perundangan dapat diyakini untuk melindungi wanita serta menimbulkan rasa gentar kepada pelaku.
“Perbuatan menceroboh tandas wanita untuk mengintai jelas bertentangan dengan norma masyarakat.
“Lebih-lebih lagi apabila pelaku berdiri menunggu di luar cubicle untuk mengintai.
“Tindakan sebegini bukan sahaja mengejutkan, malah menjejaskan rasa selamat wanita dalam kehidupan harian mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Vivian menegaskan bahawa di bawah Kanun Keseksaan, kesalahan seumpama ini boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Justeru, katanya hukuman denda RM25 sahaja disifatkan hampir sama seperti menggalakkan pelaku untuk mengulangi perbuatan tersebut tanpa memberi keadilan kepada mangsa dan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan bahawa pada tahun 2017, kes serupa di sebuah pusat membeli-belah di Kota Kinabalu telah didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, namun kes kali ini hanya dituduh di bawah Seksyen 8(1)(e) Ordinan Kesalahan Kecil Sabah, yang membawa hukuman jauh lebih ringan.
“Pihak pendakwaan yang menggunakan Ordinan Kesalahan Kecil untuk mendakwa kes ini jelas kurang peka dan gagal memahami tahap serius kejadian serta implikasi sosial yang berpotensi berlaku.
“Kita mesti memandang serius setiap perbuatan yang mencabuli keselamatan wanita, jika tidak, kita sebenarnya sedang memberi ruang kepada lebih banyak kes seumpama ini untuk berlaku,” tegasnya.
Sehubungan itu, Vivian menyeru agar kerajaan dan pihak kehakiman menilai semula peruntukan undang-undang sedia ada serta kaedah pelaksanaannya, supaya hukuman yang dijatuhkan benar-benar dapat berfungsi sebagai amaran dan pencegahan.
“Rakyat memerlukan sistem perundangan yang benar-benar dapat menjaga keselamatan mereka, bukan sekadar memberi gambaran bahawa undang-undang itu wujud secara ‘simbolik’ sahaja,” katanya.
Wakil rakyat itu turut memohon penjelasan segera berhubung hukuman ringan yang dikenakan, kerana ia dilihat tidak selari dengan prinsip keadilan serta usaha kerajaan membanteras jenayah terhadap wanita. — DEMI SABAH


