SANDAKAN: Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sandakan, Datuk Jaffari Waliam terus menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan masyarakat setempat apabila menyampaikan sumbangan dua unit penghawa dingin dan satu set alat muzik drum kepada Gereja SIB Ulu Dusun, Batu 30.
Menurut Jaffari, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha beliau menyokong keharmonian serta keperluan komuniti pelbagai agama di kawasan luar bandar, khususnya dalam memastikan rumah-rumah ibadat berada dalam keadaan selesa dan kondusif.
“Saya percaya tempat ibadat yang selesa akan memberi kesan positif kepada semangat dan tumpuan ketika beribadat.
“Ini bukan sekadar soal kelengkapan, tetapi satu cara kita membantu menguatkan perpaduan dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Sumbangan itu diserahkan kepada Penatua Gereja, Minin Turumut, bagi kegunaan jemaah serta aktiviti ibadah di gereja berkenaan.
Dengan penambahan dua unit baharu itu, suasana di dalam gereja kini lebih nyaman dan selesa, terutama ketika perhimpunan hujung minggu dan sambutan keagamaan utama.
Selain itu, sumbangan set alat muzik drum turut memberi manfaat besar kepada pasukan muzik gereja yang menjadi tulang belakang dalam setiap sesi pujian dan penyembahan.
Minin turut menzahirkan penghargaan kepada Jaffari atas keprihatinan dan sumbangan beliau terhadap komuniti SIB Ulu Dusun.
“Kami amat menghargai sumbangan ini. Ia bukan sahaja menambah keselesaan, malah menyemarakkan lagi semangat kebersamaan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di kawasan ini,” katanya.
Sumbangan tersebut turut mencerminkan pendekatan Jaffari yang menekankan kepentingan kebajikan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama, sejajar dengan semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi asas kehendak rakyat Sabah. — DEMI SABAH


