spot_img
HomePolitikSuara keramat demonstrasi jalanan - Naim Moktar

Suara keramat demonstrasi jalanan – Naim Moktar

Demonstrasi adalah suatu bentuk komunikasi sosial yang menjadi simbolik kepada reaksi masyarakat awam terhadap sesebuah pentadbiran kerajaan. Suara-suara rakyat telah menjadi tatanan komunikasi di jalanan bagi mengekspresikan perilaku sesebuah kerajaan yang dikhuatiri menjejaskan dan mengancam sesebuah Negara.

Pada 8 Disember 2018, UMNO telah bertindak untuk turun ke jalanan bagi bersama-sama dengan rakyat untuk menghalang percubaan menggugat kedudukan Raja-Raja Melayu yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh PPBM, PKR, DAP, WARISAN dan PAN menerusi proses meratifikasi ICERD.

Perhimpunan 812 telah menjadi suatu penyatuan kepada suara rakyat di dalam mempertahankan Raja-Raja Melayu. Akhirnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa akur dengan keramat suara rakyat untuk tidak meneruskan usaha bagi meratifikasi ICERD yang mengancam institusi Raja-Raja Melayu.

Di Negeri Sabah bumi di bawah bayu, UMNO telah bertindak untuk turun ke jalanan di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis bagi bersama-sama rakyat Sabah mempertahankan kedaulatan Negeri Sabah yang cuba digadaikan kepada warga asing daripada seberang menerusi pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS).

Suara keramat rakyat di jalanan telah dimanifestasikan di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-14 yang menyaksikan mandat diberikan kepada kerajaan baharu bagi menggantikan Parti Warisan Sabah. UMNO telah bersama-sama rakyat di setiap penjuru jalanan dan mengangkat suara keramat rakyat bagi mempertahankan kedaulatan Negeri Sabah.

Jesteru itu, demonstrasi jalanan tidak sewajarnya dipandang serong oleh kerajaan kerana ianya merupakan suatu simbolik kepada kematian demokrasi di Malaysia. Demonstrasi jalanan merupakan jalan terakhir yang dilakukan oleh rakyat sebagai medium mengekspresikan tuntutan, kritikan dan wadah untuk bersuara terhadap kerajaan.

Kita tidak boleh melihat demonstrasi sebagai medium memanipulasikan rakyat demi kepentingan politik semata-mata. Jika sealiran dengan politik kerajaan, maka disokong. Namun, apabila bertentangan dengan politik kerajaan, maka dikenakan tindakan undang-undang. Apabila usul ditolak tanpa ditimbang, suara dibungkam kritik dilarang, dituduh subversif mengganggu keamanan, maka sesungguhnya demokrasi itu telah dibunuh.

Demonstrasi jalanan perlu diberikan perhatian yang sewajarnya. Laungan suara keramat demonstrasi jalanan adalah manifestasi kepada keluhan dan rintihan rakyat. Tiada seorang individu di dunia ini sanggup mempertaruhkan nyawa dengan jangkitan wabak, berdiri di bawah panas terik matahari tanpa asbab yang rasional dan munasabah.

Sedemikianlah keramat suara rakyat yang menjadi perisai bagi mempertahankan kedaulatan Negeri Sabah dan Negara Malaysia. Meskipun kita bermula di sudut penjuru jalanan, tetapi sudut pengakhirannya kita tetap berjaya menjunjung sesebuah kedaulatan. Biarkan titik-titik peluh membasahi dada, suara keramat ini tetap menjunjung sebuah kedaulatan.

Penulis Mohd Kurniawan Naim Bin Moktar, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah merangkap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO   Kinabatangan.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular