LABUAN : Polis Labuan menahan beberapa lelaki yang terbabit dalam rusuhan antara penyokong dan pemain ketika perlawanan bola sepak yang berlangsung di Kompleks Sukan Labuan.
Timbalan Ketua Menteri Polis Labuan, DSP Mohd Ibrahim Ghani, berkata kesemua lelaki tempatan dalam lingkungan usia 17 hingga 36 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut berhubung rusuhan perlawanan bola sepak bawah 23 tahun.
Beliau berkata lapan daripada mereka telah dikenakan perintah reman selama empat hari bermula Isnin oleh Mahkamah Majistret Labuan, manakala dua lagi direman sehingga Selasa.
“Kami menerima laporan kejadian keganasan tidak lama selepas ia berlaku dan rusuhan bermula ketika separuh masa kedua perlawanan antara pasukan Bambu 2 dan PAT United sekitar jam 1.30 tengah hari semalam.
Menurut Mohd Ibrahim, terdapat penyokong dari kedua-dua pasukan yang tidak berpuas hati dengan kekasaran yang berlaku ketika permainan, menyebabkan mereka masuk ke padang dan mencetuskan pergaduhan antara penyokong dan pemain kedua-dua pasukan sehingga beberapa individu mengalami kecederaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa kepada hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Susulan itu, pihak polis menasihatkan mana-mana penganjur sukan untuk memaklumkan kepada pihak polis berkaitan apa-apa penganjuran yang melibatkan kumpulan ramai, melibatkan kehadiran pemimpin-pemimpin tempatan atau orang ternama bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku. – Bernama


