KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menempelak kenyataan Pemangku Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Priscella Peter yang menyeru rakyat untuk menukar kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, Datuk Jaffari Waliam berkata, tuduhan yang dilemparkan Priscella hanya cerminan kegagalan PKDM mencari modal politik, bukannya fakta sebenar tentang prestasi kerajaan negeri hari ini.
“Priscella cuba menuduh Kerajaan GRS gagal, kononnya hanya pandai menabur janji. Tetapi realitinya, sejak mengambil alih pentadbiran pada 2020, GRS berjaya memulihkan ekonomi yang tenat, meningkatkan pelaburan, menambah hasil negeri dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur. Itu bukannya janji kosong, tetapi bukti nyata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rekod PKDM di mata rakyat hampir tidak ada, malah parti itu hanya menumpang isu dan retorik tanpa menyumbang sebarang solusi.
“PKDM tidak ada pengalaman mentadbir, tidak ada rekod pencapaian. Mereka hanya tahu berpolitik siang malam. Rakyat Sabah bukannya mudah ditipu dengan ucapan penuh retorik tanpa asas.
“Kalau mahu bercakap tentang kegagalan, lihat dulu cermin parti sendiri,” tegasnya.
Jaffari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, masalah jalan raya, air dan pekerjaan yang dibangkitkan Priscella bukan sesuatu yang diabaikan, malah sedang ditangani secara berperingkat melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kerajaan telah memperuntukkan berbilion ringgit untuk projek jalan raya, bekalan air bersih dan peluang pekerjaan melalui pelaburan industri baharu. Bukti jelas, kadar pelaburan meningkat saban tahun, peluang kerja bertambah. Janganlah menafikan fakta ini hanya kerana mahu cari sokongan politik murahan,” katanya.
Jaffari juga menyifatkan tindakan Priscella menyerang GRS sebagai percubaan terdesak untuk menutup kelemahan dalaman PKDM.
“Kita tahu PKDM berpecah, ditinggalkan oleh pengasasnya sendiri. Kini mereka cuba hidupkan semangat dengan menabur fitnah terhadap GRS. Tapi rakyat sudah matang, mereka tahu siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya pandai bercakap di pentas ceramah,” katanya.
Menurutnya, keyakinan GRS untuk menghadapi PRN semakin tinggi kerana rakyat telah melihat hasil nyata pentadbiran kerajaan sekarang.
“GRS bukan sekadar slogan. GRS adalah kerja nyata, pencapaian nyata dan kesejahteraan rakyat yang semakin meningkat. Rakyat Sabah tidak akan mudah diperbodohkan oleh retorik kosong PKDM,” tegasnya.