KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas tertimbus runtuhan tanah sedalam kira-kira 10 kaki ketika menjalankan kerja pemasangan paip di kawasan Universiti Malaysia Sabah (UMS), petang tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melaporkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.45 tengah hari sebelum 12 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi.
Komander Operasi, PBK I Judi Trisna berkata, setibanya di lokasi, mangsa didapati tertimbus sepenuhnya ketika sedang melakukan kerja penggalian.
“Pasukan penyelamat segera bertindak menggali tanah bagi mengeluarkan mangsa sebelum dibawa naik menggunakan pengusung (stretcher).
“Bagaimanapun, pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi turut dibantu polis serta pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ditamatkan sepenuhnya jam 2.50 petang setelah kawasan disahkan selamat. — DEMI SABAH


