SANDAKAN: Penganjuran Majlis Pesta Kuih Bulan bukan sekadar perayaan tradisi masyarakat Tiong Hua, sebaliknya menjadi wadah memperkukuh semangat kebersamaan dan keharmonian antara kaum di negeri ini.
Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam ketika hadir memeriahkan majlis tersebut di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sung Siew, di sini.
Menurut beliau, sambutan seperti ini memainkan peranan penting dalam membina jalinan perpaduan yang menjadi asas kekuatan Sabah sebagai negeri berbilang kaum.

“Pesta Kuih Bulan ini bukan sekadar sambutan tradisi, tetapi lambang keharmonian dan semangat muhibah yang menjadi asas kekuatan negeri Sabah.
“Semoga kebaikan, kesejahteraan dan kemakmuran terus dikurniakan kepada semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya pada majlis berkenaan.
Jaffari turut menzahirkan penghargaan kepada ADUN Karamunting, Datuk George Hiu Vun Zin atas inisiatif menganjurkan program yang bukan sahaja mengangkat budaya masyarakat Tiong Hua, malah memperlihatkan keindahan hidup bermasyarakat yang harmoni di daerah ini.

Beliau turur menyeru agar sambutan seumpama ini terus disemarakkan sebagai usaha berterusan memperkukuh semangat ‘Sabah Maju Jaya’ dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, jamuan masyarakat serta sesi ramah mesra antara pemimpin dan penduduk setempat, sekali gus memperlihatkan keakraban yang menjadi tunjang keharmonian komuniti di daerah ini. — DEMI SABAH


