BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan sebanyak 1,773 kes penyelewengan barang kawalan dan subsidi sejak 2018 hingga Mei lalu dengan keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM27.23 juta
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam, berkata pihaknya sentiasa mengambil tindakan pantas termasuk intipan dan pemeriksaan secara berkala bagi membendung penyelewengan barangan kawalan ke negara sempadan.
“Hasil daripada tindakan berterusan oleh pihak kami dalam memerangi penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi sepanjang tempoh itu merekodkan sebanyak 367 kes bagi minyak masak, 197 kes bagi tepung gandum, 322 kes bagi petrol, 301 kes bagi diesel dan 586 kes bagi gas petroleum cecair.” katanya.
“Penyelewengan barang kawalan bersubsidi di sempadan antarabangsa negara antara perkara penting yang menjadi perhatian KPDNHEP kerana kami tidak mahu subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat kita turut diguna pakai pihak lain dalam mengaut keuntungan.” tambahnya.
KPDNHEP juga sentiasa serius membendung kegiatan penyelewengan barang kawalan subsidi kerana ia juga menjadi penyumbang utama kepada masalah subsidi dan gangguan bekalan barang kawalan di pasaran ketika ini.
Azman berkata, KPDNHEP memberi amaran kepada mana-mana individu dan syarikat supaya tidak terbabit atau bersubahat melakukan aktiviti penyelewengan serta menyorok barang kawalan atau subsidi bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.
Sementara itu, katanya, sebanyak 13 aduan berkaitan barang kawalan disorok diterima KPDNHEP di seluruh negara sejak awal Januari hingga semalam dan masalah ini banyak memberi impak kepada pengguna serta peniaga. Bagaimanapun jumlah kes daripada 13 aduan itu tidak dapat ditentukan sepenuhnya kerana hasil penyelidikan lanjut mendapati, ada kes berlaku di lokasi berbeza daripada aduan diterima.
“Susulan itu, apabila pengguna mahukan aduan mereka disiasat cepat dan berkesan, kami di KPDNHEP memerlukan data lengkap, sebagai contoh alamat serta barang disorok bagi membolehkan kami membuat siasatan segera,” katanya.
Dengan itu, pihak KPDNHEP meminta bantuan masyarakat menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ dengan memberi kerjasama jika mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan serta subsidi bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras serta merta.