Ipoh: Parti Warisan (WARISAN) sedang mengenal pasti kerusi yang berpotensi di sekurang-kurangnya enam negeri di Semenanjung, termasuk Perak untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya juga berhasrat bertanding di Johor, Selangor, Kedah, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan dan akan melihat kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bersesuaian.
“Kita tidak akan bertanding semua kerusi, kita akan memilih lokasi yang bersesuaian yang kita yakin kita boleh menang dan ada potensi. Contohnya, kalau kerusi Parlimen itu kita bertanding, kita bertanding juga untuk DUN di kawasan Parlimen berkenaan.
“Bergantung pada kepemimpinan (WARISAN) di negeri. Di Perak, Datuk Seri S Sunther akan menyelaras dan mengenal pasti kawasan yang agak bersesuaian,” katanya pada Majlis Penyerahan Borang Keahlian & Sembang Santai di Taman Shatin Baru, hari ini.
Setakat ini, beliau mendakwa, WARISAN mempunyai lebih 1,000 ahli di Perak, membabitkan lima bahagian, iaitu Tambun, Ipoh Barat, Ipoh Timor, Parit dan Padang Rengas.
Secara keseluruhan di Semenanjung, katanya, parti berkenaan mempunyai kira-kira 8,000 ahli yang sudah mendaftar termasuk di Johor dan Selangor.
Menurutnya, partinya tidak akan bertanding di semua negeri, sebaliknya memberi tumpuan kepada kawasan yang agak padat dengan pengundi pelbagai kaum.
“Bukan senang untuk parti baharu bertanding. Selepas pilihan raya nanti, kita lihat bagaimana perjalanan parti dan buat masa ini kita masih dalam proses hendak memperkuatkan WARISAN itu sendiri,” tambahnya lagi.