Penampang: Seorang daripada dua mangsa yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di sungai Kampung Pogunon sejak semalam ditemukan lemas di Sungai Moyog berdekatan Kampung Pagansakan Inobong, hari ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim yang berada di lokasi kejadian mengesahkan penemuan mayat berkenaan.
Mangsa, Harold Walter, 17, ditemui pada 2.45 petang oleh penduduk kampung yang kebetulan turun ke sungai untuk memeriksa pukat miliknya.
Difahamkan, mangsa ditemui di tebing sungai dalam keadaan ditimbuni pasir dan di bawah pokok bambu yang tumbang sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
“Proses pengecaman sudah dilakukan oleh ahli keluarga mangsa dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam tragedi kira-kira 3 petang semalam, kedua-dua mangsa dikatakan bersama empat lagi rakan cuba menyeberangi sungai berkenaan.
Bagaimanapun, empat rakan mereka berjaya menyeberangi sungai berkenaan, namun muncul kepala air yang menghanyutkan kedua-dua mangsa.