KOTA KINABALU: Empat sekeluarga berdepan pengalaman ngeri apabila dapur gas mudah alih memasak ‘steamboat’ tiba-tiba meletup di sebuah restoran Alam Mesra, malam tadi.
Kejadian berlaku kira- kira jam 9 malam, yang membabitkan sebuah keluarga termasuk dua kanak-kanak dan daripada kemalangan terbabit, mangsa terpaksa dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan segera.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihak mereka menerima panggilan kecemasan tepat pada jam 9.06 malam. Katanya, sepasukan 13 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa wanita dilaporkan cedera di bahagian tangan manakala mangsa lelaki pula melecur di tangan dan luka di kaki. Kedua-dua mangsa terus diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya.
Pasukan operasi kemudiannya diarahkan melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.40 malam.


