KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan secara rasminya menghentikan subsidi berjumlah RM700 juta bagi menstabilkan harga ayam dan telur.
Ismail Sabri berkata, ketetapan itu dibuat kerana masih terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan terus menaikkan harga barang walaupun mempunyai subsidi.
“Oleh kerana bermula 1 Julai nanti harga ayam tidak lagi diberi subsidi oleh kerajaan kerana walaupun kerajaan mengeluarkan RM700 juta untuk subsidi ayam supaya tiada kenaikan harga, tetapi kita lihat masih banyak peniaga yang mengambil kesempatan dengan menetapkan harga yang tidak juga kekal seperti ditetapkan kerajaan sebanyak RM8.90 sekilogram,” katanya.
“Ada rungutan yang dilontarkan oleh masyarakat di banyak tempat, dalam media, berita, televisyen dan sebagainya apabila harga ayam sampai RM13 sekilogram,” tambahnya.
Dengan memperuntukkan belanja RM700 juta untuk subsidi, harapan kerajaan untuk membantu rakyat tidak tercapai kerana ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga. Dengan itu, pihak kerajaan mengambil langkah untuk menghentikan subsidi bagi ayam dan telur supaya tiada lagi pihak yang akan mengambil kesempatan demi kepentingan diri.