KUALA LUMPUR: Merujuk kepada laporan semasa, harga minyak sawit dicatatkan mengalami penurunan susulan daripada isu kenaikan harga minyak mentah, minyak kacang soya (SBO), serta tindakan kerajaan Indonesia melaksanakan penarikan semula larangan eksport.
Harga MSM yang berada pada paras kira-kira RM6,300 satu tan pada awal bulan ini, kini dijual dengan harga kira-kira RM4,450 yang menunjukkan kadar penurunan sebanyak 30 peratus.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata kebimbangan berlakunya krisis ekonomi di Amerika Syarikat (AS) ekoran tindakan agresif AS yang telah meningkatkan kadar faedah, dikhuatiri boleh menjejaskan permintaan minyak mentah, sekaligus mempengaruhi pergerakan harga minyak makanan termasuk sawit.
“Harga minyak mentah telah susut kepada AS$119.67 setong pada 22 Jun 2022 berbanding paras tertingginya pada 8 Mac 2022 sebanyak AS$139.85 setong atau penurunan sebanyak 14.4 peratus. Harga kacang soya pula telah menurun kepada AS$1,720 satu tan pada 22 Jun 2022 berbanding harga tertingginya iaitu AS$2,088 satu tan pada 29 April 2022 atau menurun sebanyak 17.6 peratus,” katanya.
Selain itu, kurangnya permintaan eksport ke China juga telah menyumbang kepada kelemahan harga minyak sayuran dunia termasuk MSM. Kerajaan China telah melaksanakan tempoh berkurung selama dua bulan ketika ini bagi menangani masalah penularan COVID-19 di negaranya dan faktor ini telah menyebabkan permintaan terhadap penggunaan minyak sayuran telah berkurangan ketika ini di China.
Dr Ahmad Parveez berkata, tindakan kerajaan Indonesia melaksanakan penarikan semula larangan eksport terhadap minyak sawit pada 23 Mei 2022 dan mengurangkan kadar levi untuk eksport MSM kepada AS$200 satu tan daripada AS$375 satu tan bermula 14 Jun 2022 sehingga 31 Julai 2022 telah menyumbang kepada lambakan minyak sawit di pasaran dunia. Tindakan ini dilaksanakan oleh kerajaan Indonesia bagi meningkatkan eksport minyak sawitnya dan seterusnya mengurangkan masalah lambakan stok minyak sawit yang tinggi di dalam negara.
Harga MSM telah menunjukkan arah aliran penurunan bermula 7 Jun 2022 iaitu daripada RM6,753.50 satu tan kepada RM5,046.00 satu tan pada 22 Jun 2022 atau menurun sebanyak 25.3 peratus dalam tempoh lebih kurang dua minggu sahaja. Harga awalan MSM juga terus mencatatkan penurunan kepada RM4,767.00 satu tan pada 23 Jun 2022.
“Dari segi prospek, harga MSM dijangka akan kekal sekitar RM5,000 satu tan untuk tempoh terdekat ini. Bagaimanapun kita perlu melihat juga perkembangan terbaru yang berlaku di Ukraine dan juga reaksi daripada kerajaan Indonesia,” katanya.
Indonesia menghentikan eksport minyak masak dan minyak sawit mentah ke luar negara bermula 28 April lalu sebagai sebahagian usaha mengatasi masalah kekurangan bekalan dan peningkatan harga minyak boleh dimakan itu di republik berkenaan. Larangan itu bagaimanapun ditarik semula oleh kerajaan Indonesia selepas hampir sebulan arahan larangan mengeksport berkenaan dikeluarkan.
Sementara itu Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa, berkata penurunan harga MSM juga disumbangkan oleh peningkatan kelulusan permit eksport dari Indonesia dan kejatuhan berterusan dalam harga minyak kacang soya. Selain itu, tinjauan yang dibuat mendapati bekalan sawit yang lebih tinggi dan eksport Malaysia yang lebih rendah turut menjadi faktor penurunan berkenaan.
Masalah ini diburukkan lagi oleh kelemahan dalam perdagangan minyak mentah susulan jangkaan pemulihan ekonomi yang perlahan dan prospek aliran eksport dari Ukraine dan Rusia melalui koridor selamat hasil daripada rundingan.