PITAS : Seorang lelaki berumur 40an ditahan oleh Polis Daerah Kota Marudu di sebuah rumah tidak bernombor di Kg. Ranggu, Pitas semalam. Polis turut merampas sejumlah dadah yang dipercayai syabu, wang tunai dan juga sebuah kenderaan hasil dari tangkapan tersebut.
Serbuan pihak PDRM yang diketuai oleh Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik serta anggota Balai Polis Pitas telah mendapati 2 paket plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis Syabu dengan anggaran seberat 5.06 gram dan satu tiub penyedut minuman yang mengandungi bahan yang sama dengan anggaran berat 1.22 gram.
Siasatan lanjut mendapati suspek turut menyembunyikan dadah juga disyaki syabu seberat 75.37 gram yang ditemukan di poket seluar yang dipakai olehnya ketika serbuan dilakukan.
Susulan itu, suspek dibawa ke Balai Polis Pitas bersama rampasan dadah, wang tunai bernilai RM8,000 berserta sebuah kereta untuk tindakan lanjut.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku turut menghisap syabu. Suspek juga turut mendedahkan telah mendapat bekalan syabu dari seorang lelaki di Kota Kinabalu dengan harga RM3,800 untuk 50 gram dan RM7,600 untuk 100 gram.
Siasatan lanjut juga mendapati suspek telah melakukan sebanyak empat kali pembelian sejak Oktober lalu, serta menjual dadah tersebut di sekitar Pitas.
Suspek akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) ADB 1952.
Jika disabit kesalahan, hukuman memperuntukkan gantung sampai mati mandatori atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati kepada suspek.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan tangkapan dadah di daerah ini hasil usaha pasukan serbuan terutamanya anggota Balai Polis Pitas.


