TAWAU : Mangsa kebakaran di Kampung Kinabutan Besar Batu 5 dan Kampung Titingan Tawau Lama menerima sumbangan bantuan semalam.
Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, ADUN N68 Apas merangkap Pembantu Menteri Kewangan Sabah turut hadir di kedua-dua lokasi tersebut.
Datuk Nizam menyatakan mangsa kebakaran Kg Titingan Tawau Lama melibatkan 3 buah rumah yang musnah sepenuhnya dan jumlah keseluruhan mangsa adalah seramai 16 orang.
“Manakala di Kampung Kinabutan Besar Batu 5 pula melibatkan 10 buah rumah telah musnah dan melibatkan seramai 16 keluarga,” tambahnya.
Mangsa kebakaran di Kampung Kinabutan Besar Batu 5 telah menerima sumbangan kewangan sebanyak RM10,000 dari Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah dan sebanyak RM16,000 sumbangan dari Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk 16 ketua isi rumah mangsa kebakaran.
Manakala mangsa kebakaran Kampung Titingan Tawau Lama pula menerima sumbangan khas dari Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sebanyak RM 5,000 kepada ketua isi rumah mangsa dan sumbangan kewangan sebanyak RM3,000 dari Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.
Menurut Datuk Nizam, sumbangan yang diberikan adalah berbentuk wang tunai serta keperluan makanan.
Menurutnya juga, bantuan tersebut adalah sumbangan dari Pusat Zakat Negeri Sabah, Perbadanan Baitulmal Sabah, Badan Bukan Kerajaan (NGO) Titingan Clan dan Syarikat Al Nur Marketing Sdn Bhd.
Turut hadir Hamild Awang (ADUN N67 Balung), M Aziriansyah Ali Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM Apas), Amran Karim (PPM Balung), Lo Su Fui (Pegawai Khas Kepada Ketua Menteri Sabah),Ustaz Malai Ahmad (Timbalan Yang Dipertua MUIS), Tony Tahah dan Zulkifli (AJK Bahagian BERSATU Tawau) serta pemimpin setempat.
Semoga sumbangan tersebut dapat membantu meringankan sedikit beban semua mangsa.