BATU SAPI: Ketua Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Sekong, Mohd Fazil Ajak turun padang meninjau sendiri permasalahan kemudahan asas yang dihadapi penduduk di sekitar Batu Sapi.
Lawatan mesra itu memberi peluang kepada beliau untuk mendengar secara langsung aduan penduduk berkaitan jalan rosak, sistem perparitan, kebersihan awam dan pencahayaan jalan yang tidak mencukupi.
Menurut Mohd Fazil yang juga Timbalan Ketua Penerangan PBRS Pusat, pendekatan turun padang amat penting bagi memahami keperluan sebenar masyarakat serta memastikan setiap masalah disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera.
“Sebagai pemimpin kawasan, kami bertanggungjawab memastikan suara rakyat didengari.
“PBRS komited memperjuangkan isu kemudahan asas dan pembangunan komuniti demi kesejahteraan penduduk Batu Sapi,” katanya.
Menurutnya, penduduk yang ditemui menyambut baik kehadiran beliau dan berharap agar usaha itu dapat membantu mempercepatkan penyelesaian masalah yang sudah lama membelenggu kawasan mereka.
Sementara itu, penduduk yang ditemui turut menyambut baik kehadiran Fazil dan berterima kasih atas keprihatinan beliau.
Mereka berharap agar tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa bagi memperbaiki kemudahan asas di kawasan Batu Sapi. — DEMI SABAH


