KOTA KINABALU: Pengurusan Sabah FC mengesahkan Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menyertai Sang Badak bagi saingan Liga Malaysia musim 2022.
Selepas tiga tahun setengah bersama Melaka United, pemain berusia 33 tahun itu kini memutuskan untuk membawa haluan berbeza bagi saingan Liga Malaysia tahun ini.
Pernyataan tersebut telah disahkan oleh pihak pengurusan Sabah FC melalui perkongsian di laman sosial rasmi Facebook mereka hari ini.
“Khairul Fahmi Che Mat is a Rhino! Welcome to the Land Below The Wind Bosku! (Khairul Fahmi kini skuad Sang Badak! Selamat datang ke Negeri di Bawah Bayu),” menurut perkongsian itu.
Jurucakap Sabah FC turut mengesahkan perkara tersebut dan mengesahkan pihak mereka akan memberikan maklumat terperinci tidak lama lagi.
Khairul Fahmi, 32, bekas penjaga gol Melaka United merupakan salah satu tonggak skuad Harimau Malaya yang dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee, ketua jurulatih Sabah FC, yang sebelum ini pernah membimbingnya bersama skuad B-23 sehingga memenangi pingat emas bola sepak pada pentas Sukan SEA 2011.
Selain Khairul Fahmi lebih dikenali dengan nama ‘Apek’, tiga pemain kebangsaan iaitu perancang tengah Baddrol Bakhtiar, serta pemain pertahanan Dominic Tan dan Rizal Ghazali juga sah menyertai skuad kendalian Kim Swee musim ini.