SHAH ALAM: Sejak sempadan negara dibuka pada 1 April 2022, kadar kemasukan pelancong ke Malaysia dilihat semakin meningkat dimana anggaran jumlahnya kira-kira seramai satu juta.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata angka itu menunjukkan sasaran kempen ‘Malaysia Truly Asia 2022’ hampir mencapai separuh daripada sasaran iaitu dua juta kemasukan pelancong luar ke Malaysia.
“Setakat ini, kita sudah mencapai satu juta kemasukan pelancong tetapi kita bergantung kepada kementerian lain untuk membekalkan maklumat mengenainya. Melihat dari segi kedatangan pelancong pula, sasaran kita sudah semakin hampir terutamanya Singapura,” katanya.
Seramai 600,000 orang pelancong dari Singapura yang melancong ke Malaysia dan itu menunjukkan sasaran kian mencapai tahap tinggi, begitu juga dari Jepun dan India.
Malaysia kini menyempurnakan pelancaran ‘Livery’ Pesawat Firefly Airlines dan Kempen #Gojalanlah Kerjasama Tourism Malaysia dan Firefly Airlines di Skypark RAC Bukit Jelutong di sini, hari ini. Mengenai pelancaran kempen itu, Nancy berkata, kementeriannya komited merancakkan pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan dengan kerjasama pintar bersama syarikat penerbangan di negara ini.
“Menerusi promosi ini, logo kempen Cuti-Cuti Malaysia dan logo kreatif sambutan ulang tahun Tourism Malaysia ke-50 tahun ini akan menghiasi bahagian luaran dan dalaman badan pesawat Firefly bagi menggalakkan rakyat Malaysia melancong dalam negara,” jelasnya.
“Kempen pengiklanan bersama Firefly ini akan berlangsung selama setahun bermula 1 Jun lalu sehingga 31 Mei 2023. Selain pemasangan kreatif ‘livery’ pesawat, produk pelancongan domestik turut dipapar dalam pesawat berserta kod QR bagi mempromosikan Kempen ‘GoJalanlah,” tambahnya lagi.
Nancy berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengalu-alukan inisiatif kerjasama pintar dan selari dengan pelaksanaan Pelan Strategik dan Pemasaran Tourism Malaysia 2022-2026 yang dilancarkan baru-baru ini.
“Kita mengalu-alukan usaha Firefly dalam melebarkan sayap penerbangan dari Pulau Pinang ke Sabah dan Sarawak. Langkah ini diharap menggalakkan lebih banyak penerbangan dua hala yang menghubungkan pergerakan rakyat,” katanya.
Dalam mengejar sasaran dua juta pelancong antarabangsa ke Malaysia tahun ini, Nancy berkata, fokus harus diberi bagi memperkasa sektor pelancongan domestik dalam memastikan sumbangannya kepada ekonomi negara bersifat inklusif, ia seiring Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Katanya, promosi Kempen #GoJalanLah menawarkan pembelian tiket penerbangan berserta hotel penginapan pada diskaun sehingga 35 peratus. Tempahan boleh dibuat di www.fireflyz.com.my sehingga 30 Jun ini bagi tempoh perjalanan sehingga 31
Disember ini.