spot_img
HomeJenayahJPJ kesan ‘scammer’ dalangi sindiket jual lesen terbang

JPJ kesan ‘scammer’ dalangi sindiket jual lesen terbang

Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendakwa Isu kegiatan penjualan lesen terbang yang dipercayai berlaku dalam kalangan anggota dalaman JPJ berkemungkinan besar didalangi sindiket scammer.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata pihaknya sedang mengesan sindiket yang dianggap bukan perkara baharu, sebaliknya dipercayai sudah wujud sejak sekian lama.

“Ini semua angkara scammer, ia bukan isu baharu. Apabila ada kes, kita akan cuba menyelesaikannya dan kita juga membuat penyamaran dengan membayar kepada sindiket bagi mengetahui operasi mereka,”

“Kami turut membuat semakan dengan Cyber Security Malaysia (CSM) untuk melihat domain bagi mengesan pelokasi sumber seragam (URL) yang digunakan scammer dan itu penyelesaian terakhir kita patut buat jika membabitkan penipuan dalam talian,” katanya.

“Jabatan kami ingin menegaskan, tidak ada satu situasi pun mana-mana orang di negara kita boleh mendapatkan lesen melalui bayaran kepada pihak-pihak berkenaan.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ops Penguatkuasaan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2022 JPJ Kelantan di Terminal Bas Lembah Sireh, malam tadi.

Sebelum ini media melaporkan, seorang ‘influencer’ media sosial menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial mendakwa wujud tawaran mendapatkan ‘lesen terbang’ atau lesen memandu tanpa perlu mengikut prosedur sah.

Menerusi video berdurasi dua minit enam saat itu, individu berkenaan mendakwa kegiatan itu didalangi sindiket dianggotai pelbagai pihak termasuk pegawai JPJ sendiri.

Sementara itu, tambah Zailani, beliau tidak akan berkompromi dengan kesalahan membabitkan integriti.

Katanya, pihaknya sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan pemantauan ke atas tawaran bagi memiliki lesen terbang itu.

“Saya mengalu-alukan siasatan SPRM ke atas anggota saya dan tidak akan melindungi mahupun berkompromi untuk disiasat SPRM atau polis jika berlaku sebarang salah laku, salah guna kuasa dan tidak berintegiriti,” tambahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular