Petaling Jaya: Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia setelah lima bulan hidup dalam kesengsaraan akibat kesan penderaan, semalam, dalam perjalanan ke hospital di Taman Nusa Bistari, Iskandar Puteri.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dipercayai dilakukan oleh ibunya sendiri yang berusia 35 tahun bersama teman lelakinya, 32 tahun di rumah mereka sejak Jun lalu.
Kedua suspek akan berdepan dengan hukuman berat iaitu denda maksimum sehingga RM50,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali, bergantung kepada kesalahan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff memberitahu, beliau sangat sedih dengan kejadian penderaan itu yang tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat kita.
“Ibu bapa perlu bertanggungjawab dan memberi perlindungan terhadap keselamatan anak-anak selain menggesa masyarakat bertindak segera jika terlihat penderaan terhadap orang terdekat”
“Sekiranya ada jiran atau ahli keluarga mengetahui atau mengesyaki berlaku kes dera sepatutnya mereka melaporkan kepada pihak berwajib, ” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis Johor Bahru Selatan (JBS) menerima panggilan daripada petugas HSA mengenai kematian kanak-kanak itu kira-kira 12.20 tengah hari.
Hasil pemeriksaan mendapati mangsa tinggal bersama ibu kandungnya dan teman lelaki berusia 35 tahun serta seorang adik dan kakak di rumah yang sama.
“Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor turut menjumpai getah paip di sinki dalam bilik air, batang kayu dan poly pipe di atas sofa serta kesan darah di rumah suspek, ” katanya.
Susulan itu, kedua suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau yang sama iaitu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan empat rekod mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.