Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas pengarah di sebuah jabatan Kerajaan Negeri selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira lebih RM1.2 juta.
Menurut sumber permintaan rasuah itu membabitkan kerja-kerja perkhidmatan daripada dua buah syarikat.
Katanya lelaki berumur dalam lingkungan 50-an itu ditahan di pejabat SPRM di sini kira-kira jam 10 pagi semalam.
Difahamkan lelaki terbabit yang kini berkhidmat dengan sebuah agensi kerajaan lain dipercayai menerima habuan itu sebagai balasan memberi projek perkhidmatan penundaan di jabatan tersebut antara tahun 2017 hingga 2018.
Sementara itu Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
Tambah beliau, kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Suspek dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dalam masa yang terdekat,” jelasnya.