spot_img
HomeJenayahBekas pegawai bank mengaku tidak bersalah terima wang haram RM3.41 juta

Bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah terima wang haram RM3.41 juta

Butterworth : Seorang bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen atas 14 pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan nilai berjumlah RM3.41 juta di sini, hari ini.

Tertuduh, R Ganesan, berumur 35 tahun yang diwakili peguamnya Pyara Singh, meminta dibicarakan selepas kesemua 14 pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang pada ketika itu bekerja sebagai penasihat kewangan didakwa menerima wang tunai keseluruhannya berjumlah RM3.41 juta daripada 12 individu berbeza dipercayai adalah hasil daripada aktiviti haram.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad Cawangan Taman Inderawasih Perai, dijangkakan antara 22 Ogos 2017 hingga 7 Oktober 2019.

Pendakwaan dibacakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pembukaan kes dimulakan dengan sepasang suami isteri yang telah menjadi mangsa melalui kutipan pelaburan sebanyak RM716,000 sehingga merasa ditipu dan mendakwa pegawai bank yang berkait melakukan pengubahan wang haram menggunakan wang pelaburan mangsa.

Sementara itu, mahkamah telah menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular