KUALA LUMPUR : Seorang wanita warga emas yang dipercayai mempunyai masalah mental disahkan meninggal dunia setelah terjatuh dari unit atas sebuah flat di Cheras, hari ini.
Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.22 pagi melaporkan insiden yang membabitkan mangsa berusia 62 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata pasukan anggota Balai Polis Cheras yang dihantar ke lokasi kejadian telah menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta yang telah pecah cermin depan.
“Siasatan awal mendapati mangsa mempunyai masalah mental namun kami mengesahkan tiada sebarang jenayah berlaku dalam insiden ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
“Mangsa dipercayai jatuh dari unit atas flat itu dan disahkan meninggal dunia setelah ditemukan di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM),” tambahnya lagi.
Sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan dengan kes ini boleh menghubungi Ketua Polis Balai Cheras, Asisten Superintendan Mohd Redzuan Md Darus di talian 03-92050301 dengan sambungan 302. – Berita Harian


