spot_img
HomeSemasaPembinaan Jambatan kekal di KM117.1 Jalan Kota Kinabalu - Keningau

Pembinaan Jambatan kekal di KM117.1 Jalan Kota Kinabalu – Keningau

KENINGAU: Pembinaan jambatan kekal di Kilometer (KM) 117.1, Jalan Kota Kinabalu – Keningau oleh Kementerian Kerja Raya akan dijalankan bagi menggantikan laluan runtuh akibat daripada arus deras ketika hujan lebat yang menyebabkan jalan raya terputus awal bulan lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata pembinaan jambatan itu dijangka akan bermula dalam masa tiga bulan lagi selepas jumlah kos dan spesifikasinya dimuktamadkan.

“Kementerian Kerja Raya persekutuan melalui kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah menjalankan kajian dan penilaian teknikal sebelum bersetuju untuk menentukan kaedah penyelesaian terbaik yang perlu dilaksanakan bagi jangka masa panjang. Dengan itu, kerajaan memutuskan untuk membina jambatan kekal merentasi sungai di laluan berkenaanbagi kemudahan semua pihak,” kata beliau selepas meninjau kawasan berkenaan pada petang semalam.

Spesifikasi, kos dan reka bentuk jambatan kekal akan dimuktamadkan berdasarkan kaedah yang paling cepat dengan kos yang paling munasabah bagi menyelesaikan masalah ini untuk keselesaan bersama.

Arthur berkata, pembinaan jambatan itu dianggarkan mengambil masa kira-kira 18 bulan. Kewujudan jambatan ini akan membolehkan aliran trafik lebih lancar dan mampu menampung kenderaan dengan had berat muatan tinggi sehingga 60 tan.

Sebuah jambatan Bailey dipasang sementara bagi membolehkan kenderaan melalui laluan berkenaan.
Bagi kenderaan berat pula, pemandu perlu menggunakan laluan alternatif Jalan Trans Pagalan – Keningau atau Jalan Magatang – Ranggom – Kapayan – Keningau kerana jambatan yang dipasang sementara tidak boleh menampung kenderaan berat.

Jambatan sementara itu dipasang untuk menggantikan pembetung yang dihanyutkan arus deras ketika hujan lebat awal bulan lalu menyebabkan laluan berkenaan terputus sepanjang kira-kira 30 meter.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular