Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah menyarankan pengguna di negeri ini agar tidak membuat pembelian panik khususnya dalam menyambut Pesta Kaamatan memandangkan bekalan ayam mentah sedia ada masih mencukupi.
Pengarah Pejabat nya, Georgie Abas berkata, hasil pemeriksaan mendapati bekalan bagi daging ayam masih mudah diperoleh di pasar-pasar utama, pasar raya dan kedai runcit di seluruh Sabah.
Katanya, KPDNHEP Sabah menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bekalan ayam termasuklah barangan keperluan asas yang lain setiap hari.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas berkenaan tidak terputus dan dijual pada harga yang berpatutan.
“Bagi negeri Sabah, penternak ayam tempatan dan pembekal masih mampu menampung bekalan di pasaran tempatan. Terdapat 19 penternak ayam pedaging yang utama yang boleh mengeluarkan sebanyak 3,000,000 ekor ayam sebulan”
“Berdasarkan laporan harian pemeriksaan ayam di seluruh Sabah, purata ayam disembelih dalam tempoh sebulan adalah dianggarkan sebanyak 3,000,000 ekor iaitu purata 100,000 ekor ayam sehari”
“Bekalan ayam yang dihantar ke pasar raya utama di Sabah pula sebanyak 100 hingga 300 ekor ayam sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berikutan permintaan meningkat kepak ayam setiap kali musim perayaan di Sabah, kerajaan melalui KPDNHEP menyenaraikan kepak ayam sebagai barang harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan yang berkuat kuasa pada 27 Mei 2022 hingga 2 Jun 2022.
Dalam pada yang sama, KPDNHEP turut bersedia bekerjasama dengan mana-mana kementerian dan agensi terutamanya berhubung isu harga dan bekalan ayam khasnya di negeri Sabah.
“Ini termasuklah mengguna pakai undang-undang yang tertakluk di bawah bidang kuasa kementerian ini bagi memastikan kebajikan pengguna dan peniaga dijaga”
“KPDNHEP juga menguatkuasakan Penentuan Harga Maksimum Bagi Ayam Dan Telur Ayam (PHMAT) bermula pada 5 Februari 2022 sehingga 5 Jun 2022.”
“Sebanyak 58 tindakan kes dihasilkan oleh KPDNHEP Negeri Sabah terhadap pihak yang didapati tidak mematuhi pelaksanaan PHMAT sejak 5 Februari hingga 28 Mei 2022,” tambahnya lagi.