Kuala Lumpur : Muhamad Aznil Bidin berhasil mendapatkan tempat ke Sukan Komanwel Birmingham tahun depan selepas memenangi sesi kelayakan yang diadakan serentak dengan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Uzbekistan, semalam.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia, (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata Aznil berjaya meraih pingat emas dalam Kelayakan Sukan Komanwel 2022 yang melibatkan seramai 16 atlet yang bertanding.
“Saat ini, Aznil berjaya membawa pulang pingat emas. Kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel 2022 yang diadakan ini serentak dengan Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021,” tambahnya.
Aznil yang bertanding dalam kategori 61 kilogram (kg) berjaya mengangkat 120 bagi kategori snatch dan 153kg bagi kategori clean and jerk dengan keseluruhan angkatan yang berjumlah 273kg.
Menurut Ayub, pada masa ini, Malaysia berada di kedudukan pertama Kelayakan Sukan Komanwel 2022 di Birmingham dan mengesahkan tempat ke Sukan Komanwel 2022 bagi kategori 61kg lelaki.
Selain Aznil, Muhammad Erry Hidayat turut dijadualkan beraksi di Uzbekistan dalam kategori lelaki 73kg, malam ini. – Berita Harian