Kota Kinabalu: Kerajaan memperuntukkan RM680 juta bagi Program Penyeragaman Harga, Program Penstabilan Harga serta Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am bagi tahun 2022.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak RM240 juta daripada jumlah itu adalah untuk pelaksanaan Program Penyeragaman Harga membabitkan Pengedaran Barang Perlu, Gas Petroleum Cecair (LPG) dan ‘Community Drumming’.
“Sebanyak RM400 juta pula untuk Program Penstabilan Harga Minyak Masak,kemudian RM40 juta lagi Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am,” Ulas beliau kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Ulang Siar Bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nanta berkata melalui program berkenaan kerajaan akan menanggung kos pengangkutan dan penghantaran barang untuk membawa tujuh barangan kawalan dari pembekal di bandar ke kawasan-kawasan pedalaman terpilih.
Program ini merangkumi Program Pengedaran Barang Perlu (beras, gula putih peket satu kilogram (kg), tepung gandum kegunaan am peket 1kg/tepung gandum bukan kegunaan am peket 1kg, minyak masak peket 1kg/botol satu liter), LPG dan Community Drumming (petrol RON95 dan diesel).
“Tanpa program ini, barangan berkenaan pasti terpaksa dijual mahal kerana faktor pengangkutan dan ‘transporter’, yang kini ditanggung oleh kerajaan,”
“Maka pelaksanaan program itu dapat memastikan barangan terbabit dijual mengikut harga ditetapkan, kerana kos penghantaran telah ditanggung oleh kerajaan” katanya.
“Saya telah melawat POS (Point of Sales) di Pulau Bum-Bum, POS Mayok, POS Amin dan POS Charleys di Kundasang untuk melihat sendiri bagaimana barang berkenaan dihantar oleh ‘transporter’, direkod dan dijual untuk dinikmati penduduk setempat pada harga sama yang dinikmati di bandar di Malaysia.”
Sementara itu, mengulas mengenai program pelancaran hari ini, Nanta berkata, alat ulang siar yang dipasang di pasar akan menjadi rujukan serta saluran advokasi berkenaan norma baharu dan maklumat berguna lain untuk masyarakat.
Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Shahelmey Yahya, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah Georgie Abas dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip. -Bernama