TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau menahan dua individu iaitu seorang tekong lelaki warga tempatan, 32 tahun dan seorang lagi penumpang wanita warga tempatan, 35 tahun, bersama sebuah bot kargo tempatan yang sarat dengan muatan pelbagai barangan menerusi OPS Cegah PATI, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, bot kargo itu dikesan bergerak dari arah perairan batu 3 menuju ke kawasan sempadan perairan Malaysia – Indonesia di Timur Laut Tanjung Saima, Pulau Sebatik, kira-kira pukul 1.30 pagi.
Menurutnya, tekong berkenaan telah gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa serta dokumen kastam yang meragukan.
“Hasil pemeriksaan lanjut keatas bot mendapati telah menjumpai pelbagai set kosmetik yang diragui status pendaftaran serta tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tambahnya.
Siva Kumar berkata pihaknya juga turut menemui barangan runcit yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran iaitu termasuklah gula pasir, minyak masak berpaket dan tepung gandum.
“Kedua-dua suspek bersama bot serta muatan ditahan, seterusnya diiring ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut,” tambahnya.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai 212 956 ringgit,” tambahnya lagi.
Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.