Kota Kinabalu: Sabah Sarawak sedia terima penyerahan kuasa perlaksanaan urusan pengeluaran permit serta lesen laut bagi vesel penangkapan ikan Zon C2.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pemberian kuasa ini bermula dengan penerimaan permohonan, pengauditan, penilaian, kelulusan permohonan sehinggalah pengeluaran permit dan lesen vesel serta peralatan penangkapan ikan laut dalam Zon C2 yang tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan secara bersama.
“Saya berharap agar keputusan bersama ini dapat memanfaatkan kedua-dua pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri khususnya dari segi pengurusan sumber perikanan, keselamatan perairan dan hubungan antarabangsa”
Terdahulu, keputusan penyerahan kuasa ini telah pun dicapai dalam Mesyuarat Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bertepatan 18 Oktober lalu.
Dalam sidang tersebut, Perdana Menteri bersetuju memberi kuasa terbabit kepada Pengarah Jabatan Perikanan Sabah dan Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak.
Ronald Kiandee berkata, MAFI akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah (MAFS) bagi terus membangunkan industri perikanan Sabah sebagai salah satu hab utama perikanan di Malaysia.
“Saya percaya inisiatif Kerajaan melalui pemberian kuasa ini akan dapat menjaga kepentingan Sabah serta keharmonian semua sebagai keluarga Malaysia”, tambahnya lagi.