KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kes pertama positif varian yang dibimbangi Omicron telah dikesan di Malaysia.
Kes melibatkan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021 dan telah menjalani ujian RT-PCR COVID-19 setibanya di Pintu Masuk Antarabangsa, KLIA.
Menurut kenyataan, beliau merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak.
Kes telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh.
Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah
menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti dan kes menjalani kuarantin seorang diri di penginapan tersebut dan berdasarkan siasatan yang dijalankan, beliau patuh kepada perintah yang dikeluarkan.
Institut Penyelidikan Perubatan (Institute for Medical Research – IMR) telah mengesahkan sampel ujian saringan tersebut positif COVID-19
dengan CT Value 26.68 pada 20 November 2021. Kes meneruskan pengasingan di rumah yang sama selama 10 hari dan diberi pelepasan
pada 29 November 2021.
Menurut KKM, pengesanan kontak rapat telah dijalankan ke atas semua penumpang bas dan pemandu iaitu seramai lima orang. Mereka telah menjalani saringan ujian COVID-19 dan kuarantin wajib. Ujian sampel pertama dan kedua ke atas semua kontak rapat disahkan negatif.
Khairy Jamaluddin menyatakan beberapa strategi kawalan dalam menghadapi perkara tersebut antaranya pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi di PMA KLIA akan dipakaikan peranti pengesan (Digital tracker device) sepanjang tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian atau kuarantin.
Seterusnya, Gelembung Pelancongan Langkawi, pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi perlulah menjalani ujian pengesanan COVID-19
tambahan iaitu pada hari ke-3 dan ke-5 dari tarikh ketibaan. Jenis ujian adalah RTK-Ag secara profesional.
Perjalanan Lengkap Vaksin VTL-Singapura diiteruskan buat masa ini. Akhir sekali, sekatan perjalanan sementara terhadap 8 negara yang dikenal pasti sebelum ini masih dikekalkan.