spot_img
HomeEkonomiTunai umrah tangguh seketika - Khairy Jamaluddin

Tunai umrah tangguh seketika – Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Susulan pertambahan kes Omicron yang dikesan dalam kalangan jemaah sekitar 1 Januari 2021 hingga 30 Disember 2021 menyebabkan kerajaan menangguh kebenaran menunaikan ibadah umrah buat sementara waktu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati sebanyak 2763 kes positif adalah dalam kalangan pengembara yang tiba di pintu masuk antarabangsa (PMA).

“Sebanyak 1446 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan pengembara yang tiba dari Arab Saudi, diikuti oleh Singapura (322 kes), Indonesia (264 kes) dan United Kingdom (217 kes).

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, bermula 1 Januari 2022, tempahan tiket penerbangan umrah yang baharu ditangguhkan manakala perjalanan umrah pula akan dibekukan bermula 8 Januari 2022 sehingga tarikh kebenaran baharu dimaklumkan kelak.

“Bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci pada 1 hingga 7 Januari 2022, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan. Mereka bagaimanapun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak Agensi Pengurusan Bancana Negara (NADMA) apabila tiba di Malaysia.

“Hasil mesyuarat telah diangkat dan mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri. Penilaian risiko COVID-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Khairy Jamaluddin berkata, penangguhan sementara aktiviti umrah dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan COVID-19.

Beliau berharap agar penangguhan sementara aktiviti umrah ini dapat memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah umrah sebelum aktiviti umrah dibenarkan semula.

Melalui kenyataan sidang media tersebut, Khairy mengingatkan semua jemaah yang baru pulang dari Tanah Suci dan sedang menjalani kuarantin di rumah arau kediaman supaya mematuhi SOP dan tatacara kuarantin yang ditetapkan termasuk tempat dan tempoh kuarantin.

“Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin COVID-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optima serta mengelakkan gejala jangkitan COVID-19 yang teruk serta komplikasinya, “katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular