PENAMPANG: Hampir 10 hari melarikan diri, suspek yang didakwa terlibat dalam kes menikam maut seorang lelaki di sebuah premis hiburan di Penampang Baru pada 4 Januari lalu, akhirnya berjaya ditahan.
Suspek yang berusia 34 tahun itu ditahan polis di sebuah hotel di Limbang, Sarawak sekitar pukul 11 malam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Mohd Haris Ibrahim berkata, suspek ditahan polis dari kontinjen polis Penampang dengan bantuan rakan sejawatan mereka di Limbang.
“Suspek dikenali sebagai Kaw Yung Chee telah ditahan berhubung kes itu yang kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan akan dibawa pulang ke Penampang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.
Pergaduhan didakwa berlaku pada 4 Januari lalu di sebuah premis hiburan di Penampang Baru yang mengakibatkan Jusmani Duragan, 29, meninggal dunia akibat kesan tikaman menggunakan objek tajam di Hospital Queen Elizabeth.
Sebelum kejadian, dikatakan sekumpulan lelaki didakwa telah mengepung Jusmani sebelum dia diserang dan dipercayai berpunca dari salah faham yang berlaku antara mereka.