spot_img
HomeSukanSabah minta saingan Piala Malaysia ditangguhkan

Sabah minta saingan Piala Malaysia ditangguhkan

KOTA KINABALU: Sabah berharap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mempertimbangkan  penjadualan semula saingan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula 6 November depan.

Pengurus pasukan Tambadau Sabah, Henry Saimpon berkata, jika diteruskan pada tarikh itu, kejohanan tertua Asia Tenggara itu akan menjadi saingan tidak adil buat mereka yang tidak dapat membuat persiapan disebabkan krisis COVID-19.

Menurutnya, selepas perlawanan terakhir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di tempat lawan pada 2 Oktober, skuad Tambadau Sabah tidak dapat menjalani latihan seperti biasa susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di sini.

Usaha pasukan untuk mendapatkan padang di daerah lain juga buntu apabila PKPB kemudiannya dikuatkuasakan di seluruh Sabah dari 13 Oktober hingga 26 Oktober.

Sebahagian besar Kompleks Sukan di negeri ini termasuk venue latihan dan perlawanan Tambadau Sabah di sini (Kompleks Sukan Kota Kinabalu) mula ditutup pada 1 Oktober sebelum  kesemuanya ditutup bermula 6 Oktober.

Bukan hanya penutupan Kompleks Sukan tetapi pasukan juga tidak dapat berlatih di mana-mana lapangan kerana aktiviti sukan adalah antara yang tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB di nengeri ini.

”Persiapan skuad Tambadau sangat terjejas, pemain hanya berlatih di rumah untuk kekalkan kecergasan sedangkan kebanyakan pasukan lain kini giat melakukan persiapan di atas padang.

”Walaupun Piala Malaysia tiada saingan peringkat kumpulan namun saingan nanti pastinya dilihat berat sebelah kerana kami terpaksa bersaing tanpa persiapan yang rapi,” kata Henry  ketika dihubungi semalam.

Katanya, mereka juga tanpa persiapan untuk aksi terakhir menentang UiTM FC yang juga jadual terakhir Liga Super musim ini. Perlawanan yang sudah dua kali ditunda itu dijadualkan berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam pada 31 Oktober.

“Ini pastinya sangat merisaukan seluruh pasukan. Aksi bertemu UiTM mungkin hanya pelengkap saingan Liga Super tetapi kami masih perlu beraksi di Piala Malaysia.

“Sehubungan dengan itu, saya meminta agar MFL dapat mengkaji semula jadual Piala Malaysia…mungkin menangguhkannya adalah langkah terbaik,” kata Henry.

-utusanborneoonline

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular