KUALA LUMPUR: Penekanan terhadap Sabah dan Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) berupaya merapatkan jurang pembangunan antara negeri berkenaan dengan Semenanjung.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata segala perancangan yang dinyatakan itu juga mampu meningkatkan lagi taraf sosio-ekonomi kedua-dua negeri.
“Sebagai wakil rakyat dari Sarawak, saya amat mengalu-alukan RMK-12 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri. Ia amat menarik kerana disebut secara jelas fokus akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak dari setiap sudut dalam merapatkan jurang pembangunan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
“Selain daripada itu, ditekankan juga pembangunan sosio ekonomi, bukan sahaja dari segi infrastruktur asas, tetapi kita memerlukan juga pendapatan tinggi serta peluang pekerjaan, menyertai program keusahawan dan industri serta pelbagai lagi. Ini yang kami nanti-nantikan,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, dalam sidang media di Parlimen hari ini. – BERITA HARIAN